MOH KITA RAMAI-RAMAI KE GOPENG DENGOR MAT SABU

Monday, November 23, 2009

SPR Gagal Dapat Perintah Tangguh Keputusan Kosongkan Kerusi Kota Siputeh


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kota Siputeh sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasakuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal menyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaruddin Md Said yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undangundang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 November lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelum itu bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada Barisan Nasional (BN) gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN Kedah memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.


No comments:

Post a Comment